Monday, October 14, 2013

Perutusan Aidiladha Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim

Assalamualikum Warahmatullahitaala Wabarakatuh

Muslimin dan Muslimat yang Dikasihi Allah;

Saban tahun, bermula dari tergelincirnya matahari pada 9 Zulhijah hingga terbit fajar 10 Zulhijah, jutaan tetamu Allah sedang berkumpul di Padang Arafah untuk berwukuf dan melakukan amal-amal makruf sebagai pelengkap mengerjakan rukun Islam yang kelima, iaitu menunaikan haji di Makkah Al-Mukarramah.

Setiap tetamu Allah pada musim haji, tidak mengira bangsa atau keturunan, tidak mengira kedudukan, tidak mengira jantina; yang miskin, yang kaya, yang cacat anggota tubuh, yang cacat penglihatan, semuanya terikat dengan rukun, syarat dan tertib mengerjakan rukun Islam yang kelima itu agar mendapat haji mabrur.

Pada tahun 2013 ini, kita di Malaysia menyambut Hari Raya Haji atau Aidiladha pada Selasa, 15 Oktober. Umat Islam di seluruh dunia, dan kita di Malaysia dituntut supaya berkorban ternakan seperti lembu, kambing, bebiri atau unta, menurut kemampuan. Ibadah korban hendaklah dilakukan pada tarikh berwukuf di Padang Arafah, atau terakhir pada hari keempatnya. Marilah kita memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahuwataala yang memberi kita kesempatan untuk bersama meraikan hari mulia ini.

Kita maklum, ibadah korban mempunyai maksud yang mulia dan berkait secara langsung dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Alaihissalam dalam menjalankan perintah Allah dan kesabaran yang tinggi, Nabi Ismail Alaihissalam.

Firman Allah dalam surah as-Saffat, ayat 102, dapat disimpulkan betapa setianya dua orang hamba Allah yang bukan sekadar untuk mengorbankan harta, malah nyawanya sekali pun demi kepatuhan kepada kehendak Allah Subhanahuwataala. Dengan mematuhi syariat Islam, amalan korban bukanlah setakat menyembelih seekor haiwan korban seperti lembu, kambing, bebiri atau unta tetapi ia turut menyemai semangat pengorbanan dalam jiwa kita untuk mentaati perintah Allah demi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya, dengan pengorbanan juga, masyarakat Islam boleh maju dan dapat memberikan pulangan yang baik kepada diri, keluarga dan negara. Pengorbanan yang harus dicurahkan itu, tidak semestinya berupa harta benda atau wang sahaja tetapi juga merangkumi pengorbanan masa, tenaga, fikiran hatta pengorbanan jiwa demi kebaikan agama, bangsa dan negara.

Pada tahun ini pihak Kerajaan Negeri menyumbangkan sebanyak 753 ekor lembu yang diagihkan ke setiap daerah, masjid-masjid dan kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri seluruh negeri Selangor. Sumbangan Kerajaan Negeri ini bernilai lebih RM2 juta dan dibiayai bersama oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Permodalan Negeri Selangor Bhd, Worldwide Holdings, Kumpulan Darul Ehsan Bhd, Kumpulan Semesta Sdn Berhad, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan Perbadanan Menteri Besar.

Selaku Dato Menteri Besar Selangor, saya berharap, di sebalik penyerahan lembu-lembu bagi ibadah korban ini, amalan ini mampu menimbulkan kesedaran kepada umat Islam agar lebih mengimarahkan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan memperbanyak majlis ibadah korban di kawasan masing-masing.

Saya wajar bersimpati terhadap umat Islam negeri ini yang tidak dapat menyertai ibadah korban pada tahun ini disebabkan harga lembu atau kambing dan bebiri yang mahal, di samping terbeban oleh harga barang keperluan harian yang tinggi. Dalam hubungan ini, seandainya pihak tertentu itu yang diamanahkan kerajaan untuk mengusahakan ternakan lembu bagi keperluan negara, bersikap jujur dan amanah, berkemungkinan besar harga seekor lembu seberat 200 kg kini di bawah RM2000.

Namun, apa yang mampu kita lakukan: Pihak tertentu itu dilaporkan menggunakan ratusan juta ringgit yang diperuntukan untuk kepentingan diri dan keluarga, dan mereka nampaknya tidak perlu memulangkan duit tersebut kepada kerajaan!

Perkara yang mesti kita sedari pula, bahawa korban dan perlakuan yang bakal kita lakukan sempena Aidiladha ini, hendaklah dengan keikhlasan dan kerelaan kerana Allah. Firman Allah dalam surah al-Hajj, ayat 37, yang bermaksud; ”Daging haiwan korban dan darahnya itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah tetapi yang bakal sampai kepada-Nya adalah ketakwaan kamu. Demikianlah Allah menundukkannya untuk kamu agar kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah yang Dia berikan kepada kamu.”

Maka, dalam konteks hari ini, umat Islam sewajarnya menghayati mesej-mesej penting yang terdapat dalam sambutan Hari Raya Aidiladha sebagai panduan hidup seharian bagi menghadapi pelbagai bentuk cabaran dan dugaan. Umat Islam seharusnya berusaha untuk mengamalkan kehidupan yang sederhana dan menyerlahkan syariat Islam serta berusaha mengelakkan pembaziran kerana sikap boros atau membazir adalah amalan syaitan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Israa, ayat 27.

Umat Islam mesti berusaha mencari dan mengumpul harta secara halal bukan secara rasuah atau menyalahgunakan kuasa untuk merampas harta negeri dan milik orang lain. Kerana cara demikian adalah haram menurut ajaran Islam sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 188. Bahkan ia juga salah di sisi undang-undang ciptaan manusia.

Akhir kata, saya harap agar program korban di negeri Selangor ini dijayakan dengan hikmah dan ihsan. Semoga Aidiladha tahun ini turut meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dan mengukuhkan perpaduan seluruh umat Islam. Sekianlah sahaja. Wassalamualaikum Warahmatullahitaala Wabarakatuh.

Menteri Besar Selangor

Perutusan dari Perdana Menteri Malaysia
Perutusan dari Parti Keadilan Rakyat  

No comments:

Post a Comment