Sunday, October 9, 2011

Sultan: Wujud cubaan pesong akidah


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, hasil siasatan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) mendapati terdapat cubaan untuk memesongkan akidah umat Islam.

NONEBagaimanapun, titah Tuanku, bukti yang diperoleh tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang, lapor sebuah akhbar.

“Oleh itu setelah meneliti dengan mendalam laporan JAIS dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan undang-undang, beta bersetuju tiada pendakwaan akan dibuat terhadap mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, beta menitahkan JAIS memberi kaunseling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya akidah dan kepercayaan mereka terhadap agama Islam dapat dipelihara dan dipertingkatkan,” titah baginda dalam kenyataannya hari ini.

Baginda juga melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor.

Justeru, baginda menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS memantau rapi dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa teragak-agak terhadap usaha itu.

Titah baginda lagi, tindakan JAIS menyerbu gereja di Petaling Jaya Ogos lalu betul, tidak menyalahi undang-undang negeri serta selaras dengan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam Selangor 1988.

Saturday, October 8, 2011

PANDANGAN ILMUAN & PENDAKWAH TERHADAP BAJET 2012

Peserta Liqa Ilmuan Islam
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya, sahabat dan seluruh umat yang menurutinya dalam kebaikan dan keimanan.
Kami sekumpulan ilmuan Islam dan pendakwah tanahair dengan ini sukacita untuk berkongsi sedikit respon kami terhadap bajet 2012 yang baru dibentangkan Jumaat. Dengan status sebahagian besar kami yang kerap diajukan soalan berkaitan kehidupan dari pelbagai aspek khususnya dalam bab agama, kami merasa tanggungjawab untuk menyumbang idea dan ilmu, justeru kami duduk mengadakan pertemuan di antara ilmuan dan beberapa pendakwah yang berkesempatan bagi membincangkan BAJET 2012 walau mengakui kami tidak mempunyai angka-angka lengkap dan terperinci berkait pembangunan ekonomi Negara. Pun begitu, itu tidaklah menghalang kami dari memberikan respon dari angka-angka dan cadangan yang termaktub di dalam buku bajet 2012.

Friday, October 7, 2011

Ucapan penuh Belanjawan 2012

Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2012 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

MUQADDIMAH

Saya mulakan lafaz ucapan Bajet tahun 2012 ini dengan menyebut kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim.

Tuan Yang di-Pertua,

Seperti berulang-ulang disurat dan disiratkan dalam Al-Quran yang suci bahawa Allah SWT menyeru kepada kita semua agar menuju sebuah kehidupan dalam suasana ketenteraman, kemakmuran, kesepaduan dan kesejahteraan sebagai orang-orang budiman dan berbakti.

Seperti firman-Nya dalam surah Quraish ayat 3 dan 4:

“Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini yakni Ka’abah, yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.”

1. Alhamdulillah, dipanjatkan sejuta pujian ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat yang dikurniakan kepada rakyat dan negara Malaysia. Sebagai warganegara yang menganut pelbagai kepercayaan, kita mempunyai sebab yang bukan sedikit untuk melahirkan rasa kesyukuran kepada Yang Maha Berkuasa.

2. Hakikatnya, Malaysia adalah negara yang berjaya. Dalam tempoh yang singkat, kita telah merubah wajah Malaysia dari sebuah watan pertanian berpendapatan rendah menjadi negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi. Sesungguhnya, kejayaan ini tidak datang bergolek dan tidak terhidang di atas dulang emas. Ia hasil ikatan antara Kerajaan dan rakyat yang telah bersama memecahkan ruyung-ruyung ketidakyakinan dan dogma dengan bertunjangkan perancangan sistematik dan pelaksanaan berkesan. Inilah limpahan rahmat kepada negara yang mempunyai kerajaan bertanggungjawab semenjak merdeka. Kerajaan yang bukan menjanjikan bulan, bintang ataupun cakerawala singgah ke riba tetapi ini adalah sebuah kerajaan yang saban hari memikir, mena’kul, merancang dan melaksanakan dasar serta prakarsa demi kerukunan rakyat dan kesejahteraan negara.

Tuan Yang di-Pertua,

Teks Penuh Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat

Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim
4 Oktober 2011

MUQADDIMAH
1. Terima kasih dan tahniah kepada pasukan belanjawan Pakatan Rakyat yang berjaya menghasilkan sebuah dokumen yang lengkap dan menyeluruh, walaupun mereka tidak dibantu oleh perunding dan firma media antarabangsa yang mahal.
2. Keupayaan Pakatan Rakyat menghasilkan sebuah belanjawan menyeluruh yang berlandaskan semangat reformasi rakyat adalah satu mercu tanda kematangan dan kesediaan Pakatan Rakyat menjadi kerajaan persekutuan yang baru. Belanjawan yang bertemakan ?Kesejahteraan Untuk Semua? ini lengkap mencerakinkan dengan terperinci unjuran pendapatan, perbelanjaan dan peruntukan untuk program-program nasional yang meniupkan roh kebajikan seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.
3. Belanjawan ini akan menjadi penanda aras dan penimbal balik kepada belajawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober ini. Saya yakin rakyat yang serba matang dan mahir menilai akan membandingkan kedua-dua dokumen dan Insya Allah menguatkan lagi iltizam rakyat menuntut perubahan di negara yang kita cintai.

BAB 1: MAQASSID BELANJAWAN MENGANGKAT KEPERLUAN RAKYAT
4. Proses pembentangan dan meluluskan belanjawan setiap tahun hanya dijadikan rutin oleh Barisan Nasional hingga mengenepikan matlamat sebenar sebuah kerajaan merangka dan membentangkan belanjawan kepada rakyat.