Saturday, January 14, 2012

Perang Dengan Syarikat Dan Kontraktor Yang Mensabotaj Pemungutan Sampah

MPKj, 18 Safar 1433 = 12 Januari 2012 (Khamis):

Adun Bangi biasanya tidak menghadiri jemputan mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa kecil MPKj yang begitu banyak itu. Adun hanya biasanya menghadiri Mesyuarat Penuh yang diadakan setiap bulan dalam mana semua mesyuarat jawatankuasa kecil dilaporkan. Tetapi pada hari ini Adun sengaja menghadiri mesyuarat jawatankuasa kecil mengenai sampah yang kesemua ahli dijemput, memandangkan keadaan sampah di bawah MPKj sejak seminggu ini begitu kritikal. Adun sendiri selain dari menerima e-mail, surat, maklumat lisan, turut menerima bisikan-bisikan dari kawan-kawan atau penduduk kawasan yang Adun temui memaklumkan tentang masalah sampah yang dihadapi penduduk. Tidak tahan dengan tekanan masyarakat mengenai masalah sampah, sebab itu pada jam 3.00 petang ini Adun menghadiri mesyuarat mengenai sampah.


Adun dapat kesan dari mengikuti mesyuarat, bahawa pihak Kerajaan Negeri, Kerajaan Tempatan dan pimpinan berazam kuat mahu membuka peluang orang ramai yang berkelayakan untuk menjadi kontraktor – termasuk kontraktor yang sedia ada untuk memohon mengangkat sampah melalui sistem tender terbuka bagi menyekat monopoli Alam Flora dan membuat perlantikan kontraktor-kontraktor yang baru dipilih. Tender terbuka telah dibuka sejak bulan Disember 2011 dan tarikh tutup ialah pada 18 Januari 2012. Perlaksanaan sepenuhnya selepas pemilihan pada Mac 2012. Tawaran Tender Terbuka mendapat respon dari masyarakat dan sejumlah 2,150 telah memasuki tender, tetapi yang dilulus dan mendapat tender hanya seramai 67 termasuk yang baru dan yang lama. Oleh kerana tidak semua yang lama diterima dan tidak semua yang dapat yang muda (baru), menyebabkan kontraktor-kontraktor lama rasa tidak puas hati. Mereka mahu tender hanya dibukakan kepada 70 kontraktor lama yang berlindung di bawah konsortium yang dipimpin oleh seorang YB Tempatan – Semenyih dari BN. Alangkah tidak logik dan tidak rasional jika tender hanya perlu diperuntukkan kepada yang lama sahaja.

Oleh kerana mereka merasakan tidak puas hati, mereka melancarkan mogok dan mempengaruhi yang mendapat tender supaya menolak tawaran. Dalam masa transisi ini berlaku kekecohan. Pihak yang tidak mendapat tawaran membuat kecoh, tidak mengangkat sampah, yang mendapat tawaran dari yang lama dipujuk oleh kawan lama agar tidak menerima tawaran. Sebab itu sebahagian daripada 67 yang ditawarkan sebahagian mereka tidak mengambil surat tawaran, Manakala yang baru menerima tawaran dihalang, diugut, disekat dan lori-lori pengangkutan dirosakkan dengan perangkap paku. Sebab itu pihak kontraktor-kontraktor baru sukar menjalankan tugas. Banyak tempat tidak menerima perkhidmatan mengangkat sampah, kerana dihalang, bahkan dikhianati.

Walau bagaimanapun pihak MPKj berazam menjalankan pembersihan. Mana-mana kontraktor yang ditawarkan dan tidak memaklumkan penerimaan dan perkhidmatan, dalam tiga hari maka akan determinate dan diganti dengan tawaran baru kepada kontrektor lain. Adalah disyarat dan dihadkan kepada kontraktor-kontraktor yang mendapat tawaran tidak memindahkan kontrak yang diterima kepada sub kontraktor lain. Untuk mengelak kontraktor dari diterapkan, maka margin keuntungan hanya atas kadar 10 – 20 % sahaja. Tidak ada kontraktor besar yang boleh membawa kepada amalan monopoli (Sebelum ini ada 2 kontraktor besar yang mendapat keuntungan bulanan dalam lingkungan RM60,000). Ini membawa kepada kecenderungan mensub- kontrak kepada kontraktor-kontraktor kecil. Dalam kata lain polisi kerajaan negeri untuk menggalakkan kontraktor menjalankan kontraknya sendiri dan tidak disubkontrakkan.

Masalah yang dihadapi dalam masa transisi sekarang jumlah kontraktor yang menerima tawaran – tidak masuk yang rejected dan sabotaj, ialah kekurangan kontraktor untuk meliputi semua zon yang dipecahkan kepada 67 zon, sebab itu sebagai alternatif, maka jika satu zon tiada kontraktor, maka kontraktor yang berdekatan ditawarkan mengangkat sampah.

Satu alternatif yang dicadangkan diadakan back up bagi menolong kawasan-kawasan yang tidak ada kontraktor. Back up membantu mengangkat sampah di tempat yang tiada kontraktor. Namun jumlah 10 back up terlampau kecil dan tidak mencukupi. Sebab itu jumlah back up hendaklah ditambah sekali ganda lagi. Ahli-ahli MPKj diberi tanggungjawab, memilih back up di tempat masing-masing. Dalam masa kritikal ini bayaran kepada sub kontraktor dari RM6.50 sebulan bagi sebuah rumah dinaikkan kepada bayaran yang lebih tinggi. Dengan cara terbuka dan system back up memberi peluang yang berkelayakan dan mempunyai minat menceburkan diri dalam bidang pembersihan sampah.

Kita dapati 'Perang Sampah' ini bergantung juga pada kebijaksanaan Pentadbir di MPKj dan ahli-ahli Majlis yang dilantik. Kelemahan mereka mengatur strategi mengalahkan musuh dan mengatur kerja-kerja yang perlu dilaksana menjadikan keadaan tidak terkawal dan kucar-kacir. Keadaan ini dialami kini. Kita berharap plan strategi secara konkrit dilaksanakan.

Mesyuarat memutuskan mulai petang ini juga pembersihan dilakukan, terutama di tempat-tempat kritikal dan malam ini Adun mendapat maklumat gerakan pembersihan dilakukan, sampah-sampah mulai diangkat, back up bukan saja dari kontraktor berdekatan, tetapi juga back up disertai kakitangan polis bagi menjamin keselamatan.

Kita berharap sistem pemungutan sampah akan kembali nomal, bahkan lebih lancar.

Sekian.

No comments:

Post a Comment