Wanita sebelum Rasulullah S.A.W, tidak berdarjat dan tidak berguna kecuali untuk memelihara keturunan dan mengatur rumahtangga. Apabila isteri melahirkan anak yang tidak cantik mereka akan membunuhnya. Wanita yang ‘subur’ dipinjam kepada lelaki (bukan suaminya) untuk melahirkan anak. Pendek kata, masa perkembangan peradaban Yunani, wanita hanya melayani cinta dan hawa nafsu.
Plato dan Aristotles
Aristotles tidak berpandangan baik terhadap kaum wanita. Dalam pandangannya, wanita adalah manusia yang serba kekurangan. Kehidupan dalam rumahtangga adalah kehidupan yang impian, dan adalah silap untuk menyamakan dengan taraf lelaki. Menurut Plato (guru kepada Aristotles), keberanian lelaki adalah dalam kepimpinan dan keberanian wanita adalah dalam melakukan pekerjaan-pekerjaan yang rendah.
Pada zaman Yahudi, sebahagian orang menjadikan anak perempuan setaraf dengan pelayan ataupun hamba, dan ayahnya berhak menjualnya. Wanita boleh menerima waris, kecuali bila ayahnya tidak mempunyai keturunan anak lelaki.
Dalam ‘Sifr Al Jamiah’ dinyatakan, “Aku dan hatiku berkeliling untuk menyelidiki dan mencari hikmat dan akal, dan untuk mengetahui kejahatan adalah kebodohan, dan untuk mengetahui kedunguan adalah kegilaan. Aku mendapatkan yang lebih buruk dari maut adalah wanita yang merupakan jaring, sedang tangannya adalah perangkap dan tali”.
Pepatah orang China mengatakan, “Dengarkanlah isterimu dan jangan mempercayainya”.
Pepatah Russia mengatakan, “Tidaklah anda dapatkan dalam setiap sepuluh wanita kecuali satu jiwa.”
Pepatah Itali mengatakan, “Kendali itu untuk beradu cepat dan kuda lumba, sedangkan tongkat itu untuk wanita yang buruk akhlaknya.”
Pepatah Sepanyol mengatakan, “Takutilah wanita yang buruk tingkah lakunya dan jangan membanggakan wanita mulia.”
Disebutkan dalam hukum-hukum Hindu, wabah kematian, neraka, racun, ular dan api lebih baik daripada wanita.
Disebutkan dalam hukum Manu iaitu sebahagian dari ajaran Hindu, bahawa pada masa kecil wanita tunduk kepada ayahnya, pada masa muda tunduk kepada suaminya, pada masa jandanya tunduk kepada anak-anaknya. Dan ketika dia tidak mempunyai anak dan sanak saudara, ia tunduk kepada kerabat suaminya dan tidak boleh urus dirinya sendiri.
Bangsa Rom
Dinyatakan dalam hukum Romawi, perempuan dianggap hamba lelaki dan sebagai barang dagangan murah yang dapat dipergunakan sebagaimana dikehendaki. Ia menguasai wanita sekehendaknya sehingga hidupnya menjadi milik ayahnya, kemudian suaminya, kemudian anak-anaknya. Pemilikan mereka terhadapnya sama seperti memiliki haiwan dan benda mati. Laki-laki melihat kepada perempuan sebagai pembangkit syahwat dan perempuan itu syaitan dan kotor, dan ia tidak memiliki kekuasaan atas kebetinaannya.
Patut kita ketahui penghinaan dan ejekan yang dialami wanita Rom, iaitu ketika orang-orang Rom berkumpul untuk membahas hal ehwal kaum wanita. Mereka memutuskan bahawa wanita adalah makhluk yang berjiwa dan tidak akan mewarisi kehidupan ukhrawi sedangkan dirinya kotor dan tidak boleh memakan daging, tidak boleh ketawa dan tidak boleh berbicara. Wanita harus menghabiskan seluruh waktunya dalam layanan dan bersikap tunduk (seperti hamba).
Mereka menghina wanita antara lain dengan melarangnya bercakap sejak dari mula merangkak sehingga boleh berjalan, kemudian bekerja di rumahnya tanpa mengucapkan apa-apa perkataan pun. Apabila berbicara, ia akan menimbulkan bencana. Kerana percakapannya adalah alat merayu. Larangan tersebut adalah undang-undang yang dikeluarkan oleh anggota Dewan Tribunal Romawi yang mengharamkan wanita memiliki lebih emas, dan memakai baju berwarna warni serta menaiki kereta hingga sejauh satu batu dari Rome, kecuali perayaan-perayaan umum yang tertentu.
Ada suku bangsa yang menganjurkan wanita yang ditinggal mati suaminya agar bunuh diri. Isteri yang malang terjun dari tempat yang tinggi sehingga patah lehernya atau patah tulang rusuknya. Adakalanya wanita membakar dirinya di dalam api yang digunakan untuk membakar jasad suaminya.
Wanita di kalangan orang mesir kuno mempunyai kedudukan yang tinggi dan ini dapat dilihat dalam penyembahan Isis, dewi keibuan, cinta dan kecantikan.
Isi, dewi keibuan yang dipuja oleh orang Mesir kuno
Isis melambangkan kesuburan seperti wanita. Wanita Mesir juga dibebani kekuasaan dan tunduk di atas takhta kerajaan. Ratu pertama yang memerintah menurut sejarah ialah Hatshapsut.
Hatshaput adalah wanita pertama yang memerintah Mesir
Oleh kerana wanita dianggap makhluk yang tinggi kedudukannya, maka hukum-hukum peradaban Mesir melayan wanita dengan baik. Ini dapat kita saksikan dengan jelas dalam sejarah penulisan Mesir.
Telah dijumpai lembaran-lembaran kertas dekat Taibah yang mencantumkan nasihat-nasihat Ptahhotep yang berbunyi; “Apabila engkau menjadi seorang lelaki yang berkedudukan, dirikanlah rumahtangga bagimu. Cintailah isterimu di dalamnya dengan cinta yang tulus. Berilah dia keperluannya berupa makanan dan pakaian. Dan berilah minyak wangi untuk isterimu. Kerana boleh menyegarkan anggota-anggota tubuhnya dan jadikanlah dia bahagia selama engkau hidup, kerana isteri adalah cermin suaminya yang memantulkan segala upaya yang dicurahkannnya demi kebahagiaannya. Jangan lah engkau bersikap kasar di dalam rumah. Kerana kelembutan itu mendekatkan hati wanita, sedang kekasaran itu menjauhkannya.”
Di zaman Arab Jahilliyah, wanita mendapat penghormatan yang amat sedikit. Ramai wanita dianiayai. Beberapa contoh yang buruk malah paling kejam ialah menguburkan bayi hidup-hidup. Kekejaman terhadap bayi perempuan di kalangan Arab zaman jahiliyah amat menyedihkan dan sangat hina. Banyak kes penguburan hidup-hidup bayi yang tidak berdosa.
Allah S.W.T berfirman yang maksudnya,
“Ia menyembunyikan dirinya dari orang ramai disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan apakah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup), ketahuilah alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.”
“Dan demikianlah pemimpin-pemimpin mereka menjadikan orang-orang musyrik itu menganggap baik membunuh anak-anak mereka untuk membinasakan mereka dan untuk mengaburkan mereka bagi agama mereka. Dan kalau Allah mengkehendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.”
Kes bunuh bayi hidup-hidup dilakukan disebabkan takut jatuh miskin. Ini seperti yang diberitahu oleh Imam Al Qurthubi, “Di antara bangsa Arab ada yang membunuh anaknya kerana takut miskin, sebagaimana disebutkan Allah S.W.T. Di antara mereka ada yang membunuhnya secara kejam, tanpa alasan apa pun mereka membunuh. Mereka adalah suku-suku Rabiah dan Mudlar yang membunuh anak-anak perempuan demi harga diri.”
Diriwayatkan, seorang lelaki sahabat Rasulullah S.a.w kelihatan resah di hadapan Rasulullah S.a.w. Kemudian Rasulullah S.a.w bertanya kepadanya, “Mengapa engkau bersedih?”
Orang itu berkata, “Ya Rasulullah, aku termasuk antara orang-orang yang membunuh anak-anak perempuan. Tatkala aku mendapat anak perempuan, isteriku memohon dariku agar membiarkannya. Aku pun membiarkannya sampai besar dan menjadi wanita yang paling cantik. Orang-orang meminangnya. Timbul rasa bangga dalam diriku dan hatiku tidak mengizinkan untuk mengahwinkannya dan membiarkannya di rumah tanpa kahwin.
Aku berkata kepada isteriku, aku ingin pergi ke suku lain untuk mengunjungi para kerabatku dan ingin membawa puteriku. Isteriku gembira atas hal itu dan menghiasinya baju cantik dan barang perhiasan. Ia minta agar aku berjanji untuk tidak mengkhianatinya. Aku pergi bersamanya menuju ke tepi sebuah sumur. Kemudian aku memandang ke dalam sumur itu. Anak perempuan itu mengerti, aku akan melemparkannya ke dalam sumur. Ia pun memelukku dan mulai menangis seraya berkata, “Wahai ayahku, apakah yang akan engkau lakukan terhadapku?”
Aku pun kasihan kepadanya , kemudian aku memandang ke dalam sumur dan timbul rasa bangga padaku. Kemudian ia memelukku dan berkata, :Wahai ayahku, janganlah engkau mengkhianati amanah ibuku.”
Aku terus memandang ke dalam sumur dan memandangnya pula hingga syaitan mengalahkan aku, lalu ku pegang dia dan ku campakkan ke dalam sumur kemudian ia berteriak di dalam sumur, “Wahai ayah, engkau telah membunuhku!”
Aku tinggal di situ hingga lenyap suaranya, lalu aku pulang. Menangislah Rasulullah S.a.w dan para sahabatnya, baginda berkata; “Andaikata aku disuruh menghukum seseorang lantaran perbuatan dilakukannya di zaman jahiliyah, nescaya aku menghukummu.”
Wanita juga bertindak bengis terhadap anak perempuan di zaman jahiliyah seperti yang dilakukan oleh lelaki. Menurut Ibnu Abbad, wanita di zaman jahiliyah ada yang bila mengandung, ia menggali lubang dan berbaring di tepinya. Apabila lahir bayi perempuan, ia akan mencampakkannya ke dalam lubang tersebut dan menanamnya hidup-hidup, tetapi apabila bayi lelaki yang lahir maka ia pun membiarkannya hidup.
Menurut Qatadah, suku Mudlar dan Khuzaah menguburkan anak-anak perempuan hidup-hidup dan yang paling kejam antara mereka ialah dari Bani Tamim. Mereka takut tertindas.
Penghinaan terhadap wanita di zaman jahiliyah Arab bukan hanya terbatas kepada penguburan bayi hidup-hidup, tetapi kehinaan itu meliputi seluruh segi kehidupan mereka, seperti wanita dijadikan hamba seks, hamba abdi yang boleh diperintahkan apa saja dan tidak mempunyai apa-apa hak.
Setelah kedatangan Islam, martabat kaum wanita diangkat dan dimuliakan. Tiada lagi diskriminasi terhadap kaum wanita dan mereka juga mempunyai hak-hak tertentu di dalam kehidupan. Begitulah adilnya Islam terhadap kaum wanita dan telah membebaskan mereka dari diskriminasi yang telah sekian lama membelenggu diri mereka.
Semakin ramai wanita yang bekerjaya
Keadaan ini amat bertentangan dengan lumrah kehidupan manusia itu sendiri sejak dari dahulu lagi, orang lelaki mencari rezeki sedangkan perempuan menjaga rumah dan anak-anak. Keadaan yang mula berubah sekarang ini adalah satu rekod sejarah, kerana tidak pernah sesekali berlaku di zaman dahulu lelaki yang menjaga anak manakala wanita bekerja di luar rumah. Ini lah situasi akhir zaman.
Dunia akan menjadi rosak jika keadaan ini berterusan. Apa gunanya anda berkerjaya mewah dan tinggi sedangkan keluarga terabai. Anak-anak diuruskan oleh orang gaji. Ada juga ibu bapa yang menghantar anak-anak belajar dari pagi sampai petang kerana tiada masa untuk menjaga anak-anak.
Luangkan masa dengan mereka dan berikan masa untuk mereka bermain seperti anda ketika masih kecil. Masih ingat bukan?
Kadar jenayah yang meningkat saban tahun di dunia sekarang ini, akibat dari undang-undang Islam diabaikan dan diguna pakai undang-undang merapu ciptaan manusia yang bukannya semakin membina bahkan semakin meruntuhkan lebih-lebih lagi runtuhnya akhlak dan peradaban. Undang-undang yang saya tekankan adalah bukannya merujuk kepada hudud semata-mata tetapi merangkumi gaya hidup Islam sepenuhnya.
Wanita sekarang ramai yang gilakan pangkat dan jawatan tinggi serta bergaji lumayan. Ini pun satu penyakit yang tidak disedari ramai dan telah menjadi suatu perkara yang biasa. Sedangkan ia boleh menjejaskan kehidupan manusia itu sendiri suatu masa nanti. Wanita sekarang suka menjadi pemimpin, sedangkan jawatan kepemimpinan amat tidak sesuai dengan mereka. Kaum wanita hanya sesuai menjadi golongan penasihat, bukannya menjadi imam atau pemimpin. Itu yang perlu difikirkan kembali.
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (daripada beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanja (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”.
(Surah an-Nisa’ : Ayat 34)
Ayat di atas dengan jelas dan terang (muhkam) menyatakan bahawa orang lelaki adalah pemimpin dan mempunyai kelebihan ke atas orang perempuan. Maka adakah kita masih tidak berpuas hati dengan firman Allah? Mahu mencari alasan lagi?
“Suami adalah penjaga (pemimpin) terhadap kaum keluarga dan ia dipertanggungjawabkan terhadap orang-orang di bawah jagaannya dan isteri adalah penjaga (pemimpin) di dalam rumah tangga suaminya dan anak-anaknya dan dipertanggungjawabkan terhadap orang-orang yang di bawah tanggungannya”
Hadith riwayat Bukhari.
Di dalam hadith di atas pun telah dibataskan kepimpinan isteri. Isteri tetap di bawah suami dan hanya boleh memimpin anak-anaknya. Kerana itu lah amat tidak sesuai sekali seorang wanita menjadi pemimpin sebuah masyarakat di mana masyarakat tersebut masih mempunyai ramai orang lelaki. Adakah lelaki-lelaki itu semua tidak pandai memimpin sehingga terpaksa menggunakan khidmat wanita untuk menjadi pemimpin. Perkara ini juga perlu dikaji semula, kerana kesan pengaruh British terhadap perjalanan kehidupan di negara-negara bekas jajahan mereka banyak terpengaruh dengan cara hidup mereka.
Imam Hasan Al-Banna
Menurut Imam Hasan Al-Banna, wanita tidak dibenarkan menjawat apa-apa jawatan di wilayah ‘ammah atau wazarah tafwid seperti kepimpinan ketenteraan (wilayah jihad), wilayah hisbah, wilayah kehakiman, wilayah haji, wilayah kharaj dan lain-lain bentuk umum. Selain dalil-dalil biasa dari Al-quran dan al-Hadith, beliau juga berdalilkan ijma’ amali yang menunjukkan bahawa sejak zaman Rasul SAW, baginda tidak pernah melantik kepimpinan umum di kalangan wanita dan hal ini berterusan hinggalah jatuhnya empayar Islam Uthmaniyyah. Malah Rasulullah SAW dan para sahabat juga tidak pernah melantik ahli keanggotaan syura (ahl al-hal wal aqd) dari kalangan wanita.
“Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan (pemerintahan) mereka kepada seorang wanita”
Hadith Riwayat Bukhari
Dan hujjah yang kukuh lagi tentang tidak layaknya wanita menjadi pemimpin lebih-lebih lagi pemimpin sebuah negara ialah tidak berlaku langsung pada zaman Nabi Muhammad S.a.w dan para sahabat bahawa mereka mengangkat seorang wanita menjadi khalifah. Itu sudah nyata dan terang bagi kita. jika benar wanita itu layak, sudah pasti telah dicontohi oleh Nabi dan sahabat kerana mereka adalah contoh terbaik kita. Sedangkan dalam hal berpoligami pun telah dicontohi oleh Nabi Muhammad S.a.w, adalah tidak munasabah tidak dicontohi wanita menjadi pemimpin, jika benarlah wanita itu layak untuk memimpin rakyat.
Ada pendapat yang mengatakan wanita boleh menjadi pemimpin berdasarkan kepada peristiwa Ratu Balqis di zaman Nabi Sulaiman. Tetapi perlu difikirkan semula, kisah Ratu Balqis berlaku di zaman mana? Dan apa yang jadi sesudah dia berkahwin dengan Nabi Sulaiman? Tetap Nabi Sulaiman menjadi pemimpin. Dan seperti hujah di atas, tiada dicontohi oleh Nabi dan para sahabat mengangkat wanita menjadi khalifah.
Jika kita teliti, banyak syarikat sekarang yang hanya mahu mengambil pekerja wanita sahaja. Kerana wanita boleh melariskan lagi perniagaan mereka. Ini sebenarnya mengekploitasi kehadiran wanita. Senario ini sepatutnya dikaji dengan teliti kembali agar ianya tidak menjadi parah di kemudian hari. Mencegah lebih baik dari merawat.
Saya sesekali tidak mengatakan bahawa kaum wanita tidak layak bekerja sama sekali. Tetapi kajian perlu diadakan semula bagi menilai sektor dan jenis pekerjaan manakah yang sesuai dan mana pekerjaan yang sepatutnya di serahkan kepada kaum lelaki sahaja. Ini bagi mengelakkan terjadinya pengabaian terhadap anak-naka dalam rumahtangga, berlaku fitrah kemanusiaan yang songsang iaitu perempuan bekerja di luar sedangkan lelaki jaga anak dan menjadi suri rumah dan masyarakat mengalami kerugian kerana di pimpin oleh ramai orang perempuan.
No comments:
Post a Comment