Assalamualikum Warahmatullahitaala Wabarakatuh
Muslimin dan Muslimat yang Dikasihi Allah;
Saban tahun, bermula dari tergelincirnya matahari pada 9 Zulhijah
hingga terbit fajar 10 Zulhijah, jutaan tetamu Allah sedang berkumpul di
Padang Arafah untuk berwukuf dan melakukan amal-amal makruf sebagai
pelengkap mengerjakan rukun Islam yang kelima, iaitu menunaikan haji di
Makkah Al-Mukarramah.
Setiap
tetamu Allah pada musim haji, tidak mengira bangsa atau keturunan,
tidak mengira kedudukan, tidak mengira jantina; yang miskin, yang kaya,
yang cacat anggota tubuh, yang cacat penglihatan, semuanya terikat
dengan rukun, syarat dan tertib mengerjakan rukun Islam yang kelima itu
agar mendapat haji mabrur.
Pada tahun 2013 ini, kita di Malaysia menyambut Hari Raya Haji atau
Aidiladha pada Selasa, 15 Oktober. Umat Islam di seluruh dunia, dan kita
di Malaysia dituntut supaya berkorban ternakan seperti lembu, kambing,
bebiri atau unta, menurut kemampuan. Ibadah korban hendaklah dilakukan
pada tarikh berwukuf di Padang Arafah, atau terakhir pada hari
keempatnya. Marilah kita memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah
Subhanahuwataala yang memberi kita kesempatan untuk bersama meraikan
hari mulia ini.
Kita maklum, ibadah korban mempunyai maksud yang mulia dan berkait
secara langsung dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Alaihissalam dalam
menjalankan perintah Allah dan kesabaran yang tinggi, Nabi Ismail
Alaihissalam.
Firman Allah dalam surah as-Saffat, ayat 102, dapat disimpulkan
betapa setianya dua orang hamba Allah yang bukan sekadar untuk
mengorbankan harta, malah nyawanya sekali pun demi kepatuhan kepada
kehendak Allah Subhanahuwataala. Dengan mematuhi syariat Islam, amalan
korban bukanlah setakat menyembelih seekor haiwan korban seperti lembu,
kambing, bebiri atau unta tetapi ia turut menyemai semangat pengorbanan
dalam jiwa kita untuk mentaati perintah Allah demi kebahagiaan di dunia
dan akhirat.
Sesungguhnya, dengan pengorbanan juga, masyarakat Islam boleh maju
dan dapat memberikan pulangan yang baik kepada diri, keluarga dan
negara. Pengorbanan yang harus dicurahkan itu, tidak semestinya berupa
harta benda atau wang sahaja tetapi juga merangkumi pengorbanan masa,
tenaga, fikiran hatta pengorbanan jiwa demi kebaikan agama, bangsa dan
negara.
Pada tahun ini pihak Kerajaan Negeri menyumbangkan sebanyak 753 ekor
lembu yang diagihkan ke setiap daerah, masjid-masjid dan kepada
Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri seluruh negeri Selangor. Sumbangan
Kerajaan Negeri ini bernilai lebih RM2 juta dan dibiayai bersama oleh
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Permodalan Negeri Selangor Bhd,
Worldwide Holdings, Kumpulan Darul Ehsan Bhd, Kumpulan Semesta Sdn
Berhad, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan Perbadanan Menteri
Besar.
Selaku Dato Menteri Besar Selangor, saya berharap, di sebalik
penyerahan lembu-lembu bagi ibadah korban ini, amalan ini mampu
menimbulkan kesedaran kepada umat Islam agar lebih mengimarahkan
sambutan Hari Raya Aidiladha dengan memperbanyak majlis ibadah korban di
kawasan masing-masing.
Saya wajar bersimpati terhadap umat Islam negeri ini yang tidak dapat
menyertai ibadah korban pada tahun ini disebabkan harga lembu atau
kambing dan bebiri yang mahal, di samping terbeban oleh harga barang
keperluan harian yang tinggi. Dalam hubungan ini, seandainya pihak
tertentu itu yang diamanahkan kerajaan untuk mengusahakan ternakan lembu
bagi keperluan negara, bersikap jujur dan amanah, berkemungkinan besar
harga seekor lembu seberat 200 kg kini di bawah RM2000.
Namun, apa yang mampu kita lakukan: Pihak tertentu itu dilaporkan
menggunakan ratusan juta ringgit yang diperuntukan untuk kepentingan
diri dan keluarga, dan mereka nampaknya tidak perlu memulangkan duit
tersebut kepada kerajaan!
Perkara yang mesti kita sedari pula, bahawa korban dan perlakuan yang
bakal kita lakukan sempena Aidiladha ini, hendaklah dengan keikhlasan
dan kerelaan kerana Allah. Firman Allah dalam surah al-Hajj, ayat 37,
yang bermaksud; ”Daging haiwan korban dan darahnya itu tidak sekali-kali
sampai kepada Allah tetapi yang bakal sampai kepada-Nya adalah
ketakwaan kamu. Demikianlah Allah menundukkannya untuk kamu agar kamu
mengagungkan Allah terhadap hidayah yang Dia berikan kepada kamu.”
Maka, dalam konteks hari ini, umat Islam sewajarnya menghayati
mesej-mesej penting yang terdapat dalam sambutan Hari Raya Aidiladha
sebagai panduan hidup seharian bagi menghadapi pelbagai bentuk cabaran
dan dugaan. Umat Islam seharusnya berusaha untuk mengamalkan kehidupan
yang sederhana dan menyerlahkan syariat Islam serta berusaha mengelakkan
pembaziran kerana sikap boros atau membazir adalah amalan syaitan
sebagaimana firman Allah dalam surah al-Israa, ayat 27.
Umat Islam mesti berusaha mencari dan mengumpul harta secara halal
bukan secara rasuah atau menyalahgunakan kuasa untuk merampas harta
negeri dan milik orang lain. Kerana cara demikian adalah haram menurut
ajaran Islam sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 188.
Bahkan ia juga salah di sisi undang-undang ciptaan manusia.
Akhir kata, saya harap agar program korban di negeri Selangor ini
dijayakan dengan hikmah dan ihsan. Semoga Aidiladha tahun ini turut
meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dan mengukuhkan perpaduan
seluruh umat Islam. Sekianlah sahaja. Wassalamualaikum
Warahmatullahitaala Wabarakatuh.
Menteri Besar Selangor
Perutusan dari Perdana Menteri Malaysia
Perutusan dari Presiden Parti Islam Se-Malaysia
Perutusan dari Parti Keadilan Rakyat
No comments:
Post a Comment